Sunday, September 4, 2011

:: KEBAHAGIAAN HARI INI, KEKECEWAAN SEMALAM ::

Begitu tertarik dengan cerita 'Kisah Pasangan Suami Isteri Tua' nukilan Dr Rushmini Maris Ismail di Majalah Wanita (14-20 Mei 2010) yang saya baca sewaktu bersarapan di Restoran Sinar (Roti Garing), Taman Sentosa, Johor Bahru.

Didalam artikel tersebut, Dr Rushmini tertarik dengan hubungan mesra penuh kasih sayang walaupun pasangan ini telah lanjut usia. Si suami sungguh mengambil berat & amat romantis terhadap isterinya.

Disebabkan si isteri perlu menjalani beberapa sesi pemeriksaan kesihatan bersama Dr Rushmini, pada satu hari beliau bertanyakan kepada si isteri rahsia kebahagiaan mereka yang kekal hingga kini (kebetulan si suami menunggu diluar sahaja pada hari tersebut).

Menurut si isteri, kebahagiaan yg dia kecapi hari ini tidak datang dengan mudahnya. Beliau juga melalui fasa pergolakan rumahtangga. Suaminya pernah mengahwini seorang wanita Indonesia semasa masih beristerikan dia.

Jika menurut hati seorang wanita, mahu sahaja beliau memberontak. Namun, bila memikirkan kebaikan dan sikap tanggungjawab suaminya, beliau hanya mengenakan syarat bahawa madunya tidak boleh duduk sama daerah dengan beliau dan jangan sekali-kali menemukan beliau dengan madunya. Ini untuk mengelakkan wujudnya rasa cemburu dan tidak puas hati didalam dirinya.

Bagi meluahkan rasa kecewa, beliau berniaga. Alhamdulillah, perniagaan beliau berkembang maju, membolehkan beliau untuk mengerjakan Umrah (atau Haji, saya terlupa). Dan dengan rezeki tersebut juga, beliau mampu membawa sekali suaminya dan madunya. Beliau buang segala rasa benci & sakit hati, lalu mereka bertiga bertolak ke Tanah Suci.

Tiada apa-apa yang berlaku disana. Segala urusan berjalan dengan lancar. Namun selesai segala urusan, beliau dikejutkan dengan khabar yang dititipkan oleh suami. Madunya telah diceraikan dengan talak tiga. Menurut suaminya, mereka sering bertelingkah kerana madunya menuduh suaminya melebihkan isteri pertama. Madunya juga mahu pulang ke Indonesia selepas mereka balik dari Tanah Suci.

Cerita ini benar-benar menarik perhatian saya kerana 2 perkara:

1. Ketabahan seorang isteri yang bangkit dan terus melangkah walaupun dilanda dugaan yang pasti akan mengecewakan dan menghancurkan perasan mana-mana wanita yang bergelar isteri. Sikap positif beliau telah dibalas dengan kebahagiaan abadi.
2. Peranan seorang suami didalam sebuah poligami. Pesanan saya: 'Kalau kail panjang sejengkal, Janganlah lautan hendak diduga' :))

Teruslah berfikiran positif, tidak kiralah sebesar mana dugaan yang datang. DIA sentiasa menyediakan jalan yang terbaik untuk kita..terpulang pada kita untuk memilihnya..insya'allah.

Selamat Hari Raya & Maaf Zahir Batin

~ Dyna Nora ~